Thursday, May 14, 2015

(new entry)

Aku mengangkat tangan lalu mengajukan soalan kepada Ustaz Salman, ustaz matapelajaran Syariah Islamiah, "Ustaz, adakah kita perlu untuk qiam seperti tahajud jika mahu melakukan solat istikharah? Atau kita boleh melakukannya pada bila bila masa?" (Okay, sebenarnya ayat aku tak skema macam ini.)

Mulut Ustaz Salman menunjukkan refleks ingin menjawab pertanyaanku itu, tapi aku potong dengan pertanyaan baru, "Dan Ustaz, sebenarnya solat istikharah ni bukan untuk mendapat petunjuk tentang siapa jodoh kita saja kan ustaz? Boleh jadi dilakukan pada masa kita perlukan petunjuk untuk membuat pilihan dalam hidup, kan ustaz?" Seluruh kelas 4 Razi bulat memandangku. Mengganggap perbuatanku sebentar tadi biadap barangkali.

"Aina, Aina, Aina." Ustaz memanggil namaku tiga kali. Senyum. Sambil melihatku. "Solat sunat istikharah itu dilakukan oleh kita selaku hamba apabila kita kehilangan arah, tidak dapat membuat keputusan apabila diberi pilihan. Bukan saja dalam sebab jodoh. Ramai yang menganggap istikharah hanya dilakukan apabila mahu mendapat petunjuk sama ada dia adalah jodoh yang dihantar oleh Tuhan. Pemahaman sebegitu salah sama sekali. Konsep tawakal itu berkait rapat dengan istikharah, Aina. Allah beri kita pilihan. Emas dengan permata. Kita beristikharah kepada Allah yang satu, minta petunjuk yang mana akan memberi lebih kebaikan kepada kita walaupub kedua duanya bernilai dan berharga, lalu bertawakal lah kepada Dia. Dan ya, solat istikharah itu boleh dilakukan pada bila bila masa. Pagi petang siang dan malam." Ustaz memandang ku kembali sambil tersenyum. Aku hanya mengangguk faham.

"Tapi Ustaz, macam mana saya tak suka dengan jawapan istikharah saya?" Ah, soalan itu aku biarkan saja dalam hati. Runsing.